Jun 02, 2021 - FASPada 28 Mei 2021 yang lalu, pasukan Liga Malaysia telah mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk kembali menjalani latihan secara ‘camp-based training’ sepanjang tempoh 14 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Langkah tersebut diambil ekoran pihak kerajaan telah mengumumkan PKP 3.0 di seluruh negara untuk mengawal penyebaran pandemik COVID-19 bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021.
Ketua pegawai eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon nyata gembira dengan perkhabaran tersebut dan berterima kasih kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Saya berterima kasih dan berbesar hati kerana pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara) dan MFL (Malaysia Football League) dapat mencari solusi yang baik dengan membenarkan kelab-kelab menjalani latihan bagi menyiapkan diri sebelum liga dimulakan (semula),” ujar Dr. Johan.
“Kita akan mengambil peluang ini dengan sebaik mungkin dan akan menjaga SOP supaya kita dapat melindungi pasukan bola sepak daripada ancaman COVID-19 ini.”
Pasukan Selangor FC 2 telah kembali menjalani latihan bermula semalam. Para jurulatih, pegawai serta pemain telah diletakkan di sebuah hotel berdekatan dengan FAS Training Centre bagi mengikut proses latihan secara berpusat yang ditetapkan.
Manakala, pasukan utama Gergasi Merah akan mula berlatih minggu hadapan bermula 6 hingga 14 Jun mengikut proses yang sama sementara pemain-pemain yang mengalami kecederaan tetap menjalani sesi pemulihan seperti biasa di FAS Training Centre.
“Insha Allah, kita akan melakukan ‘camp based training’ secara menyeluruh dalam masa terdekat. Pasukan Liga Perdana, Selangor 2 telahpun memulakan latihan mereka pada minggu ini, selepas mereka menjalani SOP yang ditetapkan seperti ujian PCR, persediaan tempat latihan dan penginapan khas.”
“Manakala, untuk pasukan utama Selangor FC, Insha Allah mereka juga akan kembali berlatih mulai hari Isnin hadapan,” tambah Dr. Johan.
Perkembangan lanjut mengenai pasukan utama Selangor FC akan dikemaskini dan dimaklumkan dari semasa ke semasa kelak.
Selangor FC menghargai keprihatinan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengekalkan kelulusan yang telah diberikan kepada pasukan Liga-M meneruskan latihan ketika tempoh PKP 3.0 ini.
Demi Kebanggaan.